FSG/NESV dan juga King Kenny serta Damien Comolli menunaikan janji mereka kepada para peminat Liverpool apabila memulakan "perang" di pasaran perpindahan pemain dengan membawa masuk pemain tengah Sunderland Jordan Henderson ke Anfield. Dengan harga yang dikatakan mencecah 20 juta pound untuk pemain muda yang mampu bermain di bahagian sayap, tengah serta serangan ini, Liverpool secara terang-terangan menyatakan kepada pasukan-pasukan Liga Perdana lain, kali ini pasukan Tentera Merah Merseyside benar-benar mahu memberikan cabaran sengit pada musim 2011/2012 nanti. Masakan tidak, ada pasukan yang sudah mula kelam-kabut dan panik apabila terdengar sahaja sebarang spekulasi yang mengaitkan pemain dengan perpindahan ke Liverpool, kita pasti akan terdengar ada sahaja percubaan untuk mengagalkan urusan tersebut. Jika benar tidak takutkan Liverpool, kenapa hendak menyibuk di dalam sebarang urusan perpindahan pemain yang membabitkan kelab dari Merseyside ini? Malah sanggup membuat tawaran lebih tinggi serta pakej pendapatan yang lebih baik untuk pemain yang dikaitkan dengan Liverpool? Kepada para peminat Liverpool, kita pasti sudah menjangkakan keadaan ini dan apa yang dilakukan oleh King Kenny adalah bertepatan dengan polisi perpindahan Liverpool yang telah lama dipratikkan iaitu sasaran utama Liverpool adalah untuk mendapatkan pemain yang terbaik dan hanya mahu bermain untuk Liverpool dan bukan semata-mata kerana tawaran wang semata-mata. Mungkin Liverpool bukanlah kelab yang sesuai untuk pemain-pemain yang tamak dimana ganjaran kewangan adalah tidak sebaik di kelab-kelab yang lain. Namun apa yang lebih diperlukan Liverpool adalah sekumpulan pemain yang sanggup bermain bermati-matian untuk kelab dan berkerjasama secara berkumpulan di atas padang. Tiada guna mempunyai ramai bintang yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati rakan sepasukan di atas padang. Dengan kestabilan di luar dan di dalam padang yang kini dimiliki Liverpool, tidak sabar rasanya untuk memulakan musim baru. Juga tidak mampu membuang rasa teruja untuk melihat siapa lagi pemain-pemain yang bakal dibawa masuk oleh King Kenny dan juga Comolli ke Anfield pada musim panas ini.
No comments:
Post a Comment