Sebelum memulakan bicara, mohon maaf kepada rakan-rakan semua kerana agak lama tidak membuat entri di Liverpool Malaya. Bukan hanya kesibukan kerja tetapi juga disebabkan terlalu banyak berita negatif di media dan juga internet mengenai Liverpool di kebelakangan ini yang turut membuatkan saya mengambil pendekatan untuk memerhatikan perkembangan semasa yang berlaku di Anfield. Terima kasih buat rakan-rakan yang masih sudi singgah di Liverpool Malaya. Sokongan anda sekalian amat saya hargai. Ok kembali kepada berita gembira yang kita semua nanti-nantikan, pada hari ini 8 Januari 2011 menandakan kembalinya semula seorang lagenda Liverpool sebagai pengurus baru The Reds. Lagenda yang kita semua sanjungi ini adalah King Kenny Dalglish. Semua peminat-peminat Liverpool di seluruh dunia cukup gembira dengan berita ini kerana sememangnya kita semua mengharapkan beliau kembali memimpin Liverpool. Hatta selepas pemergian Rafa sebelum ini, Kenny adalah antara calon utama yang dimahukan peminat untuk mengemudi Liverpool. Jelas kegembiraan para peminat Liverpool di mana laman sosial Facebook, Twitter dan juga blog dipenuhi dengan ucapan kegembiraan para peminat Liverpool di seluruh dunia. Itulah bukti bahawa Liverpool tidak pernah kekurangan sokongan di masa kejatuhan mahupun di masa kegemilangannya. Syabas saya ucapkan kepada para peminat Liverpool. Teruskan sokongan anda sekalian kerana ini yang Liverpool perlukan untuk bangkit kembali berjuang di persada liga dan juga eropah. Terdapat juga persoalan yang menjadi tanda tanya para peminat Liverpool iaitu adakah kita semua akan mencemuh King Kenny jika beliau gagal di dalam misinya untuk membangkitkan kembali Liverpool di separuh kedua musim 2010/2011 ini? Jawapannya mudah, sukar untuk saya melihat para peminat Liverpool akan marah jika King Kenny tidak berjaya kerana semua peminat Liverpool amatlah menghormati beliau. Bagi saya, kita semua patut bersyukur dan berasa bertuah kerana King Kenny sanggup mengambilalih Liverpool di pertengahan musim ini dimana keadaan Liverpool amatlah menyedihkan. Biarkan King Kenny melakukan kerja beliau tanpa gangguan daripada kita semua. Sokonganlah beliau sepertimana kita pernah menyokong mana-mana pengurus Liverpool sebelum ini. Diharapkan segala perancangan King Kenny akan lebih baik dan berjalan dengan lancar. Kita semua amat gembira kerana kehadiran beliau kembali sebagai pengurus Liverpool namun janganlah kita terlalu mengharapkan sebarang keajaiban yang mampu dilakukan beliau pada masa yang singkat ini. Keajaiban tidak akan berlaku di dalam masa yang singkat tetapi kita semua mendoakan agar King Kenny mampu mengembalikan semangat Liverpool yang kian menghilang di dalam diri pemain. Kepada King Kenny, Selamat Kembali Ke Liverpool dan Selamat Berjaya di dalam misi anda untuk mengembalikan kegemilangan Liverpool!!!
No comments:
Post a Comment